close

Ilmu

Manusia tidak boleh hidup tanpa ilmu. Ilmu mendorong kehidupan manusia dari sekecil-kecil hinggalah kepada sebesar-besar perkara. Untuk menikmati makanan pun perlu kepada ilmu, iaitu bagaimana untuk mengetahui sama ada sesuatu itu boleh dimakan atau tidak, menyuapkan makanan ke mulut dan mengunyahnya sehingga lumat, dan seterusnya menelan makanan tersebut tanpa ragu-ragu apabila sudah diyakini berdasarkan ilmu bahawa makanan tersebut tidak memudaratkan. Apatah lagi dalam sesuatu perkara yang menentukan halatuju manusia, ilmu amat diperlukan untuk mengetahui tentang falsafah, prinsip dan matlamat kehidupan di atas dunia ini.
Ilmu ialah pengetahuan sebenar terhadap sesuatu perkara. Seseorang yang berilmu akan mencapai kecemerlangan dalam kehidupan di dunia dan di akhirat. Islam mewajibkan umatnya menuntut ilmu kerana dengan ilmulah manusia dapat mengenal penciptanya iaitu Allah. Di samping itu, ilmu dapat membantu manusia untuk menunaikan tanggungjawab sebagai khalifah yang menegakkan agama dan memakmurkan dunia. Justeru, Imam Syafei telah berkata: "sesiapa yang berkehendakkan dunia, dia mestilah mempunyai ilmu, sesiapa yang berkehendakkan akhirat, dia mestilah mempunyai ilmu, dan sesiapa yang berkehendakkan kedua-duanya iaitu dunia dan akhirat, maka hendaklah dia mempunyai ilmu".
Islam memerangi kejahilan. Oleh itu, umat Islam diperintahkan agar mencari ilmu. Rasulullah saw telah bersabda dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Ibnu Majah bermaksud: "Menuntut ilmu diwajibkan kepada setiap muslim". Dalam buku 'Malamih al-Mujtama' al-Muslim', Prof Dr Yusuf al-Qaradawi telah menyatakan bahawa para ulama' Islam telah bersepakat bahawa menuntut ilmu itu wajib kepada setiap individu sama ada lelaki atau wanita, dan ilmu yang wajib dituntut itu merangkumi ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah.
Islam yang merupakan agama yang bertepatan dengan fitrah manusia, tidak pernah mengabaikan aspek ilmu walaupun sekelumit. Sehubungan dengan itu, sejak dari mula kedatangan Islam lagi, persoalan ilmu diberi penekanan dengan begitu serius. Budaya ilmu diterapkan dalam masyarakat Arab yang sebelumnya jauh tersimpang daripada jalan kebenaran.
Ketika Islam dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w, masyarakat pada waktu itu berada dalam kegelapan. Lalu, dengan cahaya ilmu Islam, masyarakat Arab mulai nampak kebenaran yang dicari-cari. Lantas ilmu pengetahuan mula mendapat tempat dengan begitu pesat di kalangan mereka apabila datangnya hidayah Islam kepada mereka.
Sebagaimanan yang diketahui, sebelum datangnya Islam, masyarakat Arab dikenali sebagai masyarakat ‘jahiliyyah’. Jahiliiyyah berasal daripada kata akar ‘jahala’ dan kata terbitan ‘jahlun’ atau ‘jahalatun’ yang bererti bodoh dan sesat ( al-Mu'jam al-Wasit, halaman 143). Pengertian zaman Jahiliyyah mengikut sejarawan Islam ialah zaman yang penuh kegelapan, kejahilan dan kebodohan di samping jahil dalam ilmu pengetahuan kerana tidak tahu membaca dan menulis. Namun, pandangan yang lebih tepat bagi jahiliyyah ialah zaman yang tidak mempunyai peraturan hidup dan tidak mempunyai agama yang sah di sisi tuhan. (Rujuk buku Tamadun Islam oleh Mohd Sukki Othman & Wan Muhammad, cetakan tahun 2001, Penerbit Pustaka Sarjana, halaman 14).
Islam datang dengan mengubah segala-galanya pada masyarakat Arab. Ilmu pengetahuan merupakan asas terpenting dalam pembinaan masyarakat. Buktinya ialah ayat yang pertama diwahyukan kepada Rasulullah saw menekankan kepentingan ilmu pengetahuan dan pendidikan. Firman Allah bermaksud: “Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan. Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah dan Tuhanmulah yang paling pemurah yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia mengajar manusia apa-apa yang tidak diketahui oleh mereka” (al-‘Alaq 1-5).
Jelasnya daripada ayat al-Quran yang pertama diturunkan ini iaitu yang diturunkan pada 17 Ramadhan tahun 610 Masihi, Allah s.w.t menghendaki manusia membaca, dan pembacaan itu merupakan pintu kepada memperoleh ilmu. Al-Quran itu sendiri merupakan kitab ilmu, dan al-Quran telah menjadikan ilmu sebagai kayu pengukur kepada kelebihanan seseorang manusia di atas dunia ini. Allah s.w.t. berfirman dalam al-Quran bermaksud: "Katakanlah; adakah sama orang yang mengetahui (berilmu), dengan orang yang tidak mengetahui (tidak berilmu)".
Untuk menekankan kepentingan ilmu, Islam memberikan pengiktirafan tertinggi kepada ilmuwan dan merendahkan orang yang jahil atau yang mengikut-ngikut tanpa berfikir dan berlandaskan ilmu pengetahuan. Orang berilmu telah disebut selari dengan para malaikat sebagaimana firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 18 yang bermaksud: "Allah menyatakan bahawa tiada tuhan yang layak disembah melainkan Dia, yang mentadbir dengan penuh keadilan, Para malaikat dan orang yang berilmu juga menyatakan yang demikian…". Dalam ayat yang lain iaitu dalam Surah al-Mujadalah ayat 11, Allah berfirman yang bermaksud: "…Allah meninggikan orang yang beriman di antara kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat…"
Penekanan Islam terhadap ilmu telah berjaya melahirkan ilmuwan Islam yang unggul dalam pelbagai bidang seperti agama, falsafah, perubatan, astronomi, sejarah dan kajian masyarakat, matematik dan lain-lain, yang sekaligus telah memberikan sumbangan yang besar kepada kemajuan manusia.
Dengan pencapaian ilmu yang tinggi, tamadun Islam berkembang dengan begitu pesat. Mengikut pengamatan Franz Rosenthal dalam bukunya, Knowledge Triumphant: The Concept of Knowledge in Medieval Islam, tamadun Islam didirikan oleh ilmu (characterized by knowledge). Pendidikan merupakan kewajipan keagamaan tertinggi yang berlaku di rumah, masjid, madrasah, perpustakaan, hospital, zawiyah golongan sufi, malah di pasar. Sesungguhnya dalam Islam pemisahan yang dikenali pada zaman ini sebagai pendidikan formal, informal dan non-formal tidak wujud kerana semua bentuk pendidikan adalah ibadat. Imam Abu Hanifah yang merupakan seorang peniaga kain yang amat berjaya, kerap melakukan perbincangan tentang masalah ilmu dan perundangan di kedainya.
Dalam Islam, ilmu hendaklah dituntut sejak 'dari dalam buaian hinggalah ke liang lahad'. Apabila seseorang bayi dilahirkan, dia segera diperdengarkan dengan ilmu iaitu suara azan pada telinga kanannya dan iqamat pada telinga kirinya. Amalan ini sebenarnya menegaskan hakikat bahawa roh dalam bayi perlu "digerakkan" dan "diperingatkan" tentang perkara yang memang telah diketahuinya di alam rohani. Apabila seseorang individu muslim akan meninggal dunia, dia akan diperingatkan lagi tentang Allah s.w.t seperti yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad s.a.w.: "Ajarkan orang yang akan meninggal dunia di kalangan kamu dengan ucapan Lailahaillallah".
Kisah Abu Rayhan al-Biruni seorang ahli sains, ahli perundangan dan perbandingan agama yang ulung, menunjukkan bagaimana penghayatan terhadap ilmu itu berlaku. Al-Biruni ketika sakit tenat masih mendesak seorang sahabat yang menziarahnya, tentang jawapan kepada satu persoalan fekah. Sahabatnya, dengan nada kasihan bertanya al-Biruni apakah masanya sesuai untuk membangkitkan persoalan itu. Al-Biruni menjawab dengan tegas bahawa beliau tidak mahu meninggalkan alam fana ini dalam keadaan jahil tentang penyelesaian terhadap persoalan tersebut.
Sehubungan dengan itu, semangat ilmu yang diasaskan oleh Islam mestilah disemai dalam diri setiap individu muslim. Kemiskinan, kecatatan dan keadaan persekitaran yang tidak stabil bukanlah alasan untuk gagal mencapai kecemerlangan ilmu. Imam Syafei walaupun merupakan seorang anak yatim dan miskin, telah berjaya menghafaz al-Qur'an ketika berumur tujuh tahun, dan menghafaz pula kitab fekah Imam Malik ketika berumur 10 tahun.
Syeikhul Islam Ibn Taymiyah yang dilahirkan ketika keadaan politik umat Islam kacau bilau di bawah keganasan Mongol dan Perang Salib, tetap mengutamakan ilmu dalam kehidupannya. Beliau mempelajari al-Quran, hadis, fekah, matematik, sejarah, sastera, ilmu kalam, falsafah dan sebagainya dalam suasana yang sukar.
Kesenangan hidup juga tidak harus memanjakan diri seseorang untuk menjadi malas menimba ilmu. Ibn Hazm yang dilahirkan di Cordova, dan Ibn Khaldun yang dilahirkan di Tunis merupakan contoh penuntut ilmu yang tekun walau berada dalam persekitaran keluarga yang berada, berpendidikan dan berpengaruh.
Al-Jahiz seorang yang berbangsa Negro, penjual roti dan ikan, mencapai ketinggian ilmunya bukan sekadar dengan cara menghadiri kuliah sahaja, bahkan dengan cara berdamping dengan para ilmuwan dan cendekiawan di Mirdad, sebuah kawasan terbuka di pinggir Basra. Al-Jahiz juga sering mengunjungi masjid dan mempelajari hal-hal yang bermanfaat di sana. Kisah kematian beliau mencerminkan kehidupannya yang cintakan ilmu pengetahuan. Beliau yang lumpuh tubuh badannya mati tertindih oleh buku-buku yang selalu berada di sampingnya.
Budaya ilmu yang diberi penekanan oleh Islam, sewajarnya kembali diambil perhatian serius oleh umat Islam di zaman ini. Setiap individu muslim sepatutnya sudah mempersiapkan diri sama ada dari sudut fizikal mahupun mental untuk mendalami ilmu merangkumi ilmu fardhu ain dan ilmu fardhu kifayah. Amat malang sekali sekiranya umat Islam lebih selesa dengan konsep taqlid dengan mengabaikan kewajipan mendalami ilmu sedangkan agama Islam yang mulia ini merupakan agama ilmu!.

0 Response to "Ilmu"

Post a Comment

Boleh Berkomentar Tetapi Yang Positif